Monday, December 14, 2009

SUSUR GALUR SILAT KALIMAH YAHYA SAID


LAMBANG SILAT KALIMAH




Lambang Silat Kalimah yang saya tahu. Kiranya Saudara/saudari tahu Lambang Silat Kalimah yang lain bolehlah email saya di:


fadzil_silat2u@yahoo.com atau no. tel: 017-6793812

TOK GURU YAHYA SAID



Tok Guru Yahya Said adalah anak angkat kepada Panglima Tok Rashid. Beliau bekerja dengan Panglima Tok Rashid sebagai seorang pembuat bendang, pembuat atap rumah dan pencari akar kayu untuk dijadikan adunan ubatan tradisional yang dihasilkan oleh Panglima Tok Rashid sendiri.Pada tahun 1923, Tok Guru Yahya Said adalah orang awam kebanyakan pertama yang mempelajari Silat Kalimah daripada Panglima Tok Rashid. Rakan seperguruan Tok Guru Yahya Said adalah anak Panglima Tok Rashid sendiri iaitu Tok Bidin. Apabila tamat perguruan, beliau bekerja sebagai seorang anggota polis dan tinggal di Batu Kurau, Perak.


Pada tahun 1938, Tok Guru Yahya Said mula mengajar Silat Kalimah ini kepada para pemuda di Daerah Batu Kurau. Diantaranya ialah Haji Awang Salleh, Harun Haji Hussein, Md. Daud Tok Sujak dan Haji Baharin Haji Ludin dan ramai lagi. Pada tahun 1942, Yusof Misai dari Bagan Serai, Perak juga telah mempelajari seni Silat Kalimah ini.Pada tahun 1949, Tok Guru Yahya Said telah menamatkan tugasnya sebagai anggota polis. Beliau mula aktif sebagai penjual ubatan tradisional dan menjualnya ke seluruh pelusuk Malaysia. Dalam pada itu, Tok Guru Yahya Said telah berkenalan dengan Yahya Abdullah@Yahya Masulin, Said Ali Abas, Pak Sawir Labeh, Haji Abu Malik dan Pak Mansor.Para penjual ubat ini turut mempelajari ilmu Silat Kalimah daripada Tok Guru Yahya Said sendiri, bermula dari tahun 1950.


Pada tahun 1963, seorang pemuda yang bernama Cikgu Mohd. Zohdi telah berhasrat untuk mempelajari ilmu Silat Kalimah ini daripada Tok Guru Yahya Said sendiri. Kini beliau adalah Pak Guru Utama Silat Kalimah Yahya Said dan masih mengajar dan aktif di dalam mengembangkan Silat Kalimah di sekitar negeri Perak.Pada suatu masa, Yang Berhormat Encik Mohd. Khir Johari telah menyatakan bahawa orang Melayu tidak mempunyai ilmu seni mempertahankan diri yang sebenar. Yang wujud hanyalah silat tari untuk menyambut pengantin dan hari perayaan. Bermula dari peristiwa inilah, Tok Guru Yahya Said berazam hendak membuktikan bahawa orang Melayu turut mempunyai seni mempertahankan diri yang benar-benar bercorak keislaman dan setanding dengan ilmu mempertahankan diri yang dimiliki oleh bangsa lain.Pada tahun 1965, dua adik beradik iaitu Fadil dan Che Ngah telah mempelajari Silat Kalimah daripada Tok Guru Yahya Said.Kemudian pada tahun 1966, Tok Guru Yahya Said mengembangkannya di Teluk Piai, Jalan Gunung Kriang kepada 20 orang pemuda, di Alor Merah seramai 20 orang. Semasa mengajar di Teluk Wan Jah, seramai 20 orang telah berguru dengan beliau, salah seorang daripada mereka ialah Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad yang merupakan pengasas dan Guru Utama Silat Cekak Malaysia.Pada tahun 1968, Tok Guru Yahya Said telah mengajarkan ilmu Silat Kalimah kepada Pak Guru Azmi Long dan Cikgu Ridzuan Long hingga khatam.


Pada tahun 1979 pula, Pak Guru Utama Silat Kalimah iaitu Tok Guru Yahya Said telah menghembuskan nafas yang terakhir dan jenazah beliau dikuburkan di Batu Kurau, Perak.


Hingga kini, masih ada lagi penjual ubat yang mengenali Tok Guru Yahya Said iaitu Pak Mohamad Nasir di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kamaruddin dan Zubir Duyah di Terengganu serta Bustani di Kuantan, Pahang. Ismail di Kuala Perlis, Perlis serta Radin Salleh di Parit Yaani, Batu Pahat, Johor. Selain itu, sahabat Tok Guru Yahya Said yang masih hidup ialah Tok Penghulu Zakaria yang kini menetap di Johor Bahru, Johor.Itulah kisah Tok Guru Yahya Said yang telah bertindak sebagai pengasas Silat Kalimah moden dan telah berjaya dalam cita-cita beliau untuk menyahut cabaran bahawa orang Melayu mempunyai seni silat yang tersendiri.






ASAL USUL SILAT KALIMAH

Dari apa yang diperturunkan dari mulut ke mulut dan merujuk kepada rekod sahih perkenaan Sejarah Penubuhan Negeri Dan Kesultanan Kedah maka boleh disimpulkan bahawa ilmu seni Silat Kalimah ini dibawa dan diperturunkan oleh Syeikh Abdullah kepada Sultan Kedah yang dikenali dengan nama Sultan Muzaffar Shah. Dan dipercayai ilmu Silat Kalimah ini hanya diajar kepada Raja Raja sebagai perisan dan tonggak ilmu mempertahankan diri dan telah dirahsiakan oleh Istana Kedah sehinggalah tiba kepada Sultan Ahmad Tajuddin yang telah bertanggungjawab menurunkan ilmu dan ajaran Silat Kalimah ini kepada panglima kanan beliau, iaitu Panglima Tok Ismail.

Panglima Tok Ismail pula menurunkan ilmu dan ajaran Silat Kalimah kepada Panglima Tok Ali dan Panglima Tok Hadi. Panglima Tok Ismail juga menurunkan ilmu dan ajaran Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Rashid.Panglima Tok Rashid merupakan panglima yang terakhir menerima ilmu Silat Kalimah sebelum beliau menurunkan ilmu ini kepada orang awam yang pertama, iaitu anak angkatnya yang bernama Tok Guru Yahya Said.

Syeikh Abdullah Al-Qumairi ulama dan pencipta nama Kedah Darul Aman. Ada yang berpendapat bahawa tokoh penyebar Islam di Aceh yang juga penyusun kitab Bahr Al-Lahut iaitu Syeikh Abdullah Arif adalah sahabat kepada tokoh ulama yang diperkenalkan pada kali ini.Namun ada pula berpendapat bahawa kedua-dua Syeikh Abdullah ini adalah orang yang sama. Syeikh Abdullah Arif di Aceh dikatakan berada di Aceh sekitar tahun 560H/1165M-1177M, sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi ini atau nama lengkapnya Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Ja’far Qumairi berasal dari Syahir Yemen dan tiba di Kedah tahun 531 H.

Kisah lengkap Syeikh Abdullah al-Qumairi yang lengkap diriwayatkan oleh Muhammad Hassan bin Muhammad Arsyad dalam al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Ia ditransliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada Latin/Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968. Menurut Buyong Adil dalam Sejarah Kedah (Terbitan DBP, 1980), kedatangan Syeikh Abdullah ke Kedah tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1136M. Menurut Bahayuddin Haji Yahaya dalam Naskhah Jawi, tahun 531H itu bersamaan dengan tahun 1137M.Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah seorang ulama yang berasal dari Yaman dan datang bersama-sama dengan 11 orang sahabatnya.
Dalam buku Sejarah Kedah Sepintas Lalu (Diterbitkan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti Utara Malaysia, cetakan pertama 1987 hlm 10) oleh Haji Ibrahim Ismail, disebutkan dalam Hikayat Merong Maha Wangsa bahawa Syeikh Abdullah al-Yamani (berkemungkinan maksudnya Syeikh Abdullah al-Qumairi al-Yamani) adalah murid kepada Syeikh Abdullah di Baghdad.Jika disemak dengan teliti kandungan buku tersebut, penulis menyimpulkan Islam datang ke Kedah jauh lebih awal daripada kedatangan Syeikh Abdullah al-Qumairi.Ini kerana dinyatakan dalam buku tersebut bahawa sesudah merdeka ditemui sebuah nisan di Langgar, Kedah yang berinskripsikan nama Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah/Alam dan tarikhnya 291H bersamaan 903M. Haji Ibrahim Ismail memetik dari kertas kerja berjudul ‘Sejarah Kedah Dalam Kebangkitan Islam’ (1982) oleh Ismail bin Haji Salleh. Selain itu, ia juga disebut oleh Abdullah Abbas Nasution dalam Islam 14 Abad dan manuskripnya diserahkan kepada penulis. Lihat juga Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Abd. Rahman dalam Islam di Brunei Darussalam, cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, cetakan pertama, 1992, halaman 30.
Mendahului Melihat kepada perbandingan tahun kedatangan di antara kedua-dua tokoh ini iaitu Syeikh Abdullah Arif di Aceh (560H/1165M) dengan Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya di Kedah, ini bermakna Syeikh Abdullah al-Qumairi di Kedah mendahului kedatangan Syeikh Abdullah Arif di Aceh lebih kurang 29 tahun.Namun apabila dibandingkan pula dengan tarikh batu nisan Syeikh Abdul Qadir ibnu Husein Syah Alirah di Langgar, Kedah pada tahun 291H/903M dengan tulisan M. Junus Djamil yang menyebut bahawa kerajaan Islam telah lahir di Perlak tahun 225H/840M, yang dilihat perbezaannya adalah lebih kurang 66 tahun.Oleh itu, apabila dilihat tahun-tahun tersebut perbezaannya tidak jauh. Walaupun dinyatakan oleh Haji Ibrahim Ismail bahawa kerajaan itu lebih kurang 300 tahun lebih awal dari kewujudan Kedah (Lihat Sejarah Kedah Sepintas Lalu, halaman 18).Menurut buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan dipetik oleh Buyong Adil bahawa Syeikh Abdullah al-Qumairi dan 11 orang sahabatnya telah berhasil mengislamkan Raja Kedah yang kesembilan, iaitu Maharaja Derbar/Durbar Raja II yang ketika itu berkedudukan di Istana Bukit Meriam. Namun, dalam Hikayat Merong Maha Wangsa, bukan raja yang kesembilan, tetapi adalah raja yang ketujuh. Nama raja juga berbeza, raja Kedah menurut hikayat tersebut bernama Phra Ong Maha Wangsa.Nama baginda raja itu juga ditukar oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi dari Maharaja Derbar/Durbar Raja II @ Phra Ong Maha Wangsa menjadi Sultan Muzaffar Syah I (mangkat pada 13 safar 575 Hijrah / 1179 M). Negeri Kedah pula diberi nama Kedah Darul Aman.
Pada hari pengislaman raja Kedah itu turut diislamkan pembesar-pembesar istana. Ini bererti dilakukan pengislaman secara massal. Pengislaman terhadap rakyat pula diatur strategi bersama-sama di antara Syeikh Abdullah al-Qumairi berserta 11 orang sahabatnya, bahkan disertai Sultan Muzaffar Syah I sendiri. Dalam waktu yang singkat dan cepat, hasil kerjasama yang padu dan sepakat antara ulama (Syeikh Abdullah al-Qumairi) dengan umara (Sultan Muzaffar Syah I) tersebut, maka rakyat Melayu yang asal dalam kerajaan Kedah Darul Aman serta merta memeluk Islam kesemuanya.Ini membuktikan kejayaan dakwah dan pendidikan Islam yang dijalankan oleh Syeikh Abdullah al-Qumairi yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab.Oleh itu, secara langsung Syeikh Abdullah al-Qumairi adalah sebagai guru kepada Sultan Muzaffar Syah I, malah guru bagi pihak keluarga istana Sultan Kedah Darul Aman. Oleh kerana sangat kasih dan hormat Sultan Muzaffar Syah I kepada Syeikh Abdullah al-Qumairi, baginda melantik ulama tersebut sebagai orang tua dan penasihatnya. Untuk mengembangkan lagi dakwahnya, Syeikh Abdullah al-Qumairi menyarankan supaya dibina sebuah menara sebagai tanda kebesaran Islam di puncak Gunung Jerai.
Menara tersebut dijadikan sebagai tempat azan, untuk menyeru orang sembahyang. Maka, Sultan Muzaffar Syah I memerintahkan supaya dilaksanakan saranan ulama tersebut.WasiatSetelah binaan menara tersebut hampir siap, Syeikh Abdullah al-Qumairi jatuh sakit dan ditakdirkan meninggal dunia beberapa hari selepas itu. Sebelum wafat, beliau sempat meninggalkan wasiat agar jenazahnya dikebumikan di tanah yang rata berdekatan dengan menara yang hampir siap itu. Sekitar kubur beliau itu dinamakan orang dengan Padang Tok Syeikh.Tuan Guru Haji Mahmud Nasri bin Utsman (tokoh yang menghidupkan Silat Abjad), pernah bercerita kepada murid-muridnya bahawa seorang wali Allah yang sangat terkenal iaitu Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi beberapa kali. Beliau juga pernah sembahyang di tempat tanah lapang di Gunung Jerai itu.
Kisah mengenai Syeikh Abdul Qadir al-Jilani pernah menziarahi kubur Syeikh Abdullah al-Qumairi itu dapat diterima akal kerana wali Allah tersebut wafat dalam tahun 561H/166M sedangkan Syeikh Abdullah al-Qumairi wafat dalam sekitar tidak berapa lama setelah kedatangannya di Kedah itu (531H/1136M atau 1137M).Mengenai Syeikh Abdullah Al-Qumairi:
* Datang ke Kedah pada tahun 1136 atau 1137.
* Berasal dari Yemen.* Mengislamkan maharaja Derbar/Durbar II di Istana Bukit Meriam.
* Menukar nama Raja kepada Sultan Muzaffar Shah I.
* Guru Sultan Muzaffar Syah I.
* Memberi nama Kedah Darul Aman.
* Mengarahkan dibina menara kebesaran Islam untuk azan di Gunung Jerai.

PENGENALAN


Hidup Bersama Mengembang Dan Menyatu

Alhamdulillah, syukur bagi Allah SWT kerana mengizinkan saya untuk menulis kisah Silat Kalimah Yahya Said.

Diharap dengan kemunculan blog ini dapat memeriahkan lagi dunia Persilatan Melayu dan dengan itu dapatlah berkongsi, menerima dan bercerita kepada dunia secara khusus, mengenai asal usul Silat Kalimah.

Terima kasih tak terhingga kepada Tuan Guru Haji Zohdi Bin Md Yusuf dan Tuan Guru Eusof @ Yusoff Ali ( Pak Jo ) kerana memberi tunjuk ajar kepada anak-anak Perguruan Silat Kalimah, semangat dan keyakinan maka oleh itu dengan izin Allah SWT jua.

Semoga dengan blog ini dengan izin Allah dapatlah kita membuat perancang, memperkuatkan semangat, memperkenalkan kembali dan meletakan kembali hak Silat Kalimah Yahya Said di tempatnya.Amin.